Personaliti dan penerbit eksekutif Tv3, Aidid Marcello, membuat keputusan untuk meninggalkan stesen tv itu berkuat kuasa 17 Mac ini. 

Aidid memberitahu itu merupakan keputusan yang sukar, namun beliau harus menumpukan perhatian terhadap syarikat produks miliknya iaitu Mineques Productions Sdn Bhd dan keluarga.

"Saya akui, sukar untuk saya membuat keputusan kerana saya telah berkhidmat bersama Tv3 selama 16 tahun. Namun saya perlu lakukan sesuatu demi masa depan saya."

"Sudah ada beberapa projek diterbitkan melalui syarikat saya sebelum ini. Tetapi masa saya sangat terhad kerana masih terikat dengan Tv3. Jadi selepas ini saya boleh menumpukan sepenuh perhatian dalam mengembangkan Mineques Productions."

Aidid turut mengakui faktor usia dan keluarga juga turut menyumbang kepada keputusan itu, dan apa yang dilakukannya adalah demi masa depan mereka.

Produksi miliknya kini menerbitkan program berbentuk iklan komersial, majalah, video korporat, dan dokumentari untuk semua saluran yang ingin menggunakan khidmatnya.
"Walaupun sudah tidak bersama Tv3, saya masih lagi menerima tawaran mengacara dan mengutamakan Tv3 yang telah banyak mengajar saya dalam bidang penyiaran." katanya.